Tuesday, January 29, 2008

Kita dulu dan Kita Sekarang


Selamat Hari Jadi Sharlinie

Sebak membaca catatan Hari Jadi di Utusan Malaysia pagi ni, sebagai seorang emak, aku faham bagaimana saratnya rindu emaknya pada Sharlinie, dan betapa risaunya ibu sepanjang ketiadaan Sharlinie, manusia tolol yang culik Sharlinie tak tau la berhati apa, sebab aku rasa binatang pun sayangkan antara satu sama lain.

Aku rasa budak-budak sekarang hilang hak asasi mereka sebagai kanak-kanak tidak seperti kita 20-30 tahun yang lalu. Mereka tidak bebas bermain sekeliling kawasan dengan bebas, tanpa kita rasa risau. Mereka hanya ada peluang bermain di luar sejam or lebih kalau ibu bapa ada masa nak temankan diaorg bermain di luar, keluarga yang ada bibik untung juga, boleh minta bibik temankan anak-anak bermain. Kesian budak-budak zaman sekarang, kalau mak bapak malas menemankan anak di luar, maka budak-budak ini hanya bermain games, PS atau tengok kartun je la kat tv. Nak lepaskan anak-anak bermain kita dalam rumah pula yang risau, nak menunggu, time balik kerja la nak masak, nak basuh baju, nak menyapu. Kalau kita menunggu, alamatnya dapur tak berasap.

Zaman-zaman kita dulu, celik je mata, kadang-kadang tak sempat nak makan pagi, dah kawan-kawan tercongok depan pintu rumah menunggu nak bermain. Kawasan perumahan aku, walaupun perumahan taman, tapi kami di kawasan rumah kos rendah patern macam rumah felda, rumah papan sebuah-sebuah, jadi persekitrannya tak jauh beza macam di kampung. Kalau semalam kami bermain tepi rumah Mak Jah, pagi ni kami pi bermain depan rumah Mak Mah, tengahari balik makan, itu pun kalau makan kat rumah, kadang-kadang 'berkelah' dengan kawan-kawan bawah pokok rambutan depan rumah Pak Man, masing balik rumah minta mak isi sepinggan nasik, lauk sekerat, sayur sikit, dan kuah kari, kadang-kadang emak-emak yang beranak kecik tak sempat masak, makan nasi dengan kicap boh telur mata kerbau je, tapi sedapnya nikmat betul. Masa tu siapa 'berkelah' nasi lauk ayam atau daging, kira mewah lah. Meleleh air liur orang lain nengok dia menggigit ayam.

Siap makan atas pangkin bawah pokok rumah Pak Man, masuk hantar pinggan, belum sempat mak membebel cuci tangan belum kering dah keluar pulak, kali ni port belakang rumah Mak Zarah, sebab dah petang, belakang rumah Mak Zarah teduh, boleh main masak-masak dekat bangsal belakang rumah tu. Jemu main masak-masak kami memboloskan diri bawah pagar sekolah, pergi bermain di padang sekolah, yang berkongsi pagar dengan rumah Mak Zarah, rumah Pak Lan, rumah Pak Man, rumah Mak Timah, tengah syok berlari keliling padang, nak jenguk longkang besar tepi padang, Pak Man jerit "Oiii, hang pa dok main apa tepi longkang, ada hantu ayaq dalam tu," lintang pukang lari, dan main polis sentri semula.. potong stim betoi Pak Man ni. Sebenarnya bukan ada hantu ayaq pun, tapi Pak Man tak mau kami jatuh longkang, kami bukan anak-anak Pak Man, tapi Pak Man tolong tengok kami main di Padang.

Pukul 7, Mak Timah, bawa sebatang ranting jerit tepi pagar "Hang pa semua tak reti nak balik ka? tak nampak dah senja, sat lagi keluar pontianak cekik tengkuk baru tau, dok main sampai hitam merelit, tu Own tu, mana kasut hang, terpijak paku ka, kaca ka baru hang tau, hang pa balik lekaih, sat lagi mak hang pa tutup pintu baru hang pa tau, hang pa balik la ni sat lagi aku rembas sorang-sorang" Mak Timah berleter tepi padang, padahal Own tu bukan anak Mak Timah pun, tapi Mak Timah marah Own tak pakai kasut. Dan kami semua balik, tak kecik ati pun, mak-mak orang lain duk rumah tepi-tepi tu je, tak der sorang pun mak terasa hati, yang ada "Kak Timah, rembas saja, tu anak kami tu, dari pagi dok main, ketegaq, boh sedas dua," tu diaaaa mak sendiri pulak menambah.

Lepas maghrib pakat-pakat pi mengaji rumah Mak Mah, sambil tunggu turn mengaji sempat lagi plan, esok kita main kat rumah Pak Usop, pasai tadi nampak Pak Usop ikat buaian bawah pokok mempelam, rumah Pak Usop tepi sekali, halaman dia luas, lagi syok berlari keliling rumah. Tengah syok borak, Mak Mah rembas rotan ke lantai papan, terkejut dan takut, terus bukak muqaddam. Mak Mah marah "Hang pa ni tak dak keja lain, dok kira nak main saja, bukan nak mengaji betoi-betoi, sat lagi aku habaq kat mak hang pa," tu dia dah kena marah..

Esok tu seperti di rancang, lepas je makan pagi, dah beramai-ramai pi main kat rumah Pak Usop. Pak Usop siap pesan main gilir-gilir, buaian tu ada satu, jangan main kasar-kasar, ada pulak pelam masak kat pokok, Pak Usop suruh Mak Zarah kupas bagi kami makan. Lepas kenyang makan pelam kami tukar port, main depan rumah aku, bising riuh rendah, kena marah dengan mak, "hang pa pi main tang lain, anak-anak aku nak tidoq ni, " ohohoh kena halau pulak, maklumlah masa tu adik-adik aku kecik-kecik, tukar port, pi main rumah Pak Bakaq pulak.

Sesekali, emak-emak berpakat sesama emak-emak, 'berkelah' 4-5 keluarga bawah pokok pelam belakang rumah Mak Zarah ramai-ramai, emak masak gulai seperiuk, Mak Zarah masak sayur keladi, Mak Mah buat sambal belacan, goreng ikan kering, Mak Siah goreng ikan 'termenung' seperiuk (ikan kembong), dan setiap orang tu ada je menu masing-masing, bancuh air sirap satu besen, makan ramai-ramai, sedap sangat. Lepas makan, basuh pinggan ramai-ramai, kemudian bertukar-tukar gulai untuk makan malam di rumah masing-masing. Oh rindunya...

Indahnya kan zaman tu, jiran-jiran tu 'kepoh' sebab itulah kita bebas bermain, sebab mak kita tau, kalau kita depan rumah Pak Man, anak dia selamat, Pak Man takkan bagi budak-budak pi main jauh-jauh. Bila Pak Man rasa tiba-tiba rumah dia senyap, dia pi cari mana budak-budak ni hilang. Mak Timah jerit time senja suruh balik, sebab Mak Timah tau masa ni semua mak bapak tengah tunggu anak balik, tak kena gaya ada kena kurung duduk luar rumah sebab lambat balik. Pak Usop buat buaian bawah pokok, sebab dia tau rumah lorong belakang tu ada buaian, dia tak mau kami anak-anak lorong 3, pegi main rumah di lorong dua. Nanti kami main tak nampak depan mata depa orang-orang tua.

Selamatkan zaman itu? Kami takut nak pi main jauh-jauh sebab takut Botak Chin, takut Joe sembelih kepala orang, cepat masuk rumah sebelum maghrib takut pontianak keluar hisap darah. Kalau kami kena marah dengan Mak Zarah, Mak Mah, Pak Man, kami tak bagitau dekat mak, silap-silap kena pukul tambah lagi. Bila dekat time periksa, belajar ramai-ramai, Not anak Mak Zarah pandai, kami belajar ramai-ramai dengan dia, Not dah jadi doktor sekarang, Abang Man, anak Pak Bakar dah masuk universiti, dia ajar kami tuisyen free, dia pun dah jadi cikgu sekarang. Walaupun kami semua bermain dari pagi sampai petang, ramai jugak antara kami masuk universiti, ada dah jadi doktor, engineer, jadi cikgu, semuanya membesar bawah pokok pelam, makan bawah pokok rambutan, main belakang rumah, dan berlari di padang sekolah.

Ya, kejiranan dulu tak macam kejiranan sekarang. Jangan kata orang, aku sendiri pun tak kenal anak-anak jiran sepanjang lorong rumah kami, setakat anak jiran kiri kanan, dan rumah depan. Dan kita kalau tengok anak orang nakal sikit, tak berani tegur takut ibunya kecil hati, kang kerana benda kecil bermasam muka pulak, agaknya orang pun sama, nengok anak kita nakal, dia pun tak tegur, zaman berubah. Kita pun walaupun rindukan zaman-zaman itu, tapi susah untuk mengubah kerana masa berubah dan kita juga berubah.

Kerana semua itu yang berubah, itulah yang terjadi pada anak-anak yang hilang ini.....

Saturday, January 19, 2008

Yassin Untuk Bonda


Semalam kami layan drama Yassin Untuk Bonda...

Aku tak tau orang lain, tapi pada aku, this is one of the good drama, and bersandarkan kepada fact, dan bukan drama syok sendiri pengarah dan penerbit.

Sebab aku kata begitu, sebab drama ni tunjuk realiti sebenar masyarakat Malaysia, terutamanya orang Melayu, kisah keluarga Samiah lakonan Azizah Mahzan, dan suaminya alamak, lupa lak nama laki dia dalam drama tu,tp lakonan Nassir Bilal Khan, and beberapa lagi pelakon yang malatops.. Maimon Talib, suka aku makcik ni berlakon, watak-watak dia real je, kasilah jadi makcik/nenek baik, jadi, kasi jadi nenek/mak jahat, menjadi jugak..best...Abu Bakar Omar pun ada, yang ni mmg la superb, kasi jadi bapak lembut ala-ala pondan pun jadi, siap berkemban, so kombinasi pelakon yang best, kecuali mamat muka jambu jadi cucu Maimon, yang tu kena gilap-gilap sikit.

Sebab aku kata drama ni bukan drama syok sendiri dan realiti, ialah kerana Miah, dijangkit AIDS semasa merompak dan perompak tu penagih, dan cucuk Miah dengan jarum suntikan yang sudah ada virus AIDS, and Miah pulak sakit selama 5 tahun, kira logik jugak la untuk pesakit AIDS teruk dan meninggal, sebab AIDS ni bukan macam kanser, pesakit AIDS ni kurang tahan ketahanan penyakit, contohnya kalau demam/batuk, lama and susah nak sembuh, kalau luka pun susah nak sembuh..so kira logik jarak masa Miah sakit dan meninggal.

Then dalam drama ni takder watak Antagonis (antagonis or antigonis.. lupa lak aku) semua watak dalam drama ni baik dan aku rasa dalam dunia realiti kita, kalau org dalam kesusahan, kesempitan, berpenyakit, jarang manusia kita abaikan, menghina dan mencaci. Realiti kehidupan, kita akan menolong, walau suatu ketika dulu mungkin orang yang dalam kesusahan itu pernah menyakiti hati kita. Dalam drama ini realiti itu wujud. Yang mana orang-orang kampun tetap membantu keluarga Miah walau bukan dari wang ringgit, tetapi dengan bagi pekerjaan kepada suami Miah, dari kerja cuci longkang, buat rumah, baiki rumah, malah kerja kontrak. Dan boss kat tempat kerja pun berhati perut, orang tu lapar, dibelikan makanan, dan kerana orang tu perlukan duit, dia dibayar gaji hari... Ayat menyentuh hati antara boss dan kuli ini ialah "Saya bayar gaji abang bukan suruh kerja 24 jam tanpa rehat, masa rehat, rehatlah, jangan kerja," Aku rasa memang dalam dunia ni memang banyak boss macam tu.

Jiran yang baik, jenguk jiran yang sakit, bantu apa yang perlu, tiada satu pun watak orang kampung yang bongkak, sombong dan mengeji. Cuma melalui watak anak bongsu Miah, dia menyebut kawan-kawan dia mengata maknya sakit kena AIDS, tapi tiada ditunjukkan watak budak-budak sekolah mengejek berdepan, yang ada watak seorang budak perempuan yang baik, belikan nasi lemak untuk 'adik' dan beri wang belanja yang dia ada untuk 'adik' buat tambang melawatnya maknya di hospital.

Di hospital, tak der watak doktor merawat pesakit dan doktor cakap meleret-leret yang tak betul fakta perubatan. Sangat simple, namun kita tau di hospital Miah mendapat rawatan yang baik, plot citer ni best, tak meleret-leret. Takder emosi yang over, babak sedih over ni sinonim dengan Rashid Sibir je, tader langsung part-part over yang macam nak paksa orang supaya sedih. Semuanya berlaku dengan jujur, kita sendiri tersentuh hati dan sebak, tanpa dipaksa-paksa.

Aku tengok cerita tanpa bosan, kerana tidak ada part-part buang masa dan tak perlu, editing yang best oleh editor dia. Superb, dari satu babak ke satu babak tu, cun je berlaku, and disebabkan aku bukan pengulas yang bagus, maka kesimpulan yang aku buat ialah drama ini sangat best. And hope dapat lagi tengok drama arahan Zulkiflee R Shad ni lagi and suntingan oleh Zul Azri, memang sempoi.. Siapa kata drama kita mesti ada babak orang busuk hati, kepoh dengki, atau drama korporat konon pegi lunch tengah tarik pakai tie tu drama yang best. Drama orang kampung baik-baik pun best la..

ok, dah abeh la ulasan mengarut aku.

Family

Najmi so far so good la kat sekolah, sekolah agama cuma transit kat taska AB*M ni je problem. sepanjang aku pernah hantar anak duduk taska, inilah taska paling teruk pernah aku berurusan, memang sejak dari awal lagi aku dah tak sedap hati, tapi sebab tak banyak pilihan aku sedapkan hati je la.. Masa awal-awal nak daftar pun aku dah nampak teruknya management tempat ni, aku tanya itu ini pun budak kerja taska tu tak tau dan tak sure, dah confirm, and aku buat bayaran, langsung diaorang tak der minta butiran peribadi parents, sampai aku bertanya, katanya esok-esok dan esok sampai hari ni, aku saja je nak tengok samaada mereka nak minta atau tidak, sampai ke hari ni aku pun dah tawar hati.

Hari pertama hantar Najmi tu aku dah mula hangin, kerana tempat ni rupanya ada 3 biji rumah, iaitu satu untuk taska budak-budak kecil, satu rumah untuk tadika, and rumah belakang tu aku rasa tempat tinggal cikgunya and tempat diaorang memasak untuk semua budak. Hari pertama kami sampai, cikgu-cikgu tengah sebok makan, tanpa peduli kehadiran kami parent, sepatutnya mereka sambut budak baru turun bas sekolah and tunjukkan mana bilik salin baju, mana tempat sangkut baju, mana tempat mandi, ini tidak aku sendiri uruskan anak, diaorg semua dok makan. Aku tanya tempat sidai tuala pun diaorg susuh aku letak je tuala atas iron board tu je.

Selesai urusan mandi Najmi semua, takder sorang pun panggil Najmi untuk makan tengahari, sehingga aku yang bertanya, makanan disediakan atau tidak? barulah Najmi diberi makan. And Najmi akan turun bas di rumah depan, dan akan melangkah longkang besar belakang rumah untuk ke rumah belakang, longkang tu hanya di letak papan sekeping sebagai titi utk melangkah, kalaulah budak-budak ni jatuh. takder sorang cikgu yang bawa budak-budak ni melangkah pi balik-pi balik. Petang tu aku call owner tu maklumkan beberapa perkara yang aku tak puas hati, kononnya dia ambil maklum, tapi takder perubahan.

Second day, masa nak pi ambil baju, kasut dan beg sekolah Najmi, terkejut aku tengok baju masih bertempek di lantai, tuala masih di lantai tidak bersangkut, and kasut ada di luar pintu, kalaulah hujan mesti basah. AKu terus sound budak yang kerja situ, aku tanya siapa cikgunya yang sepatutnya jaga budak-budak transit, katanya minah ni, tapi tak pernah pun minah ni sambut, or take care budak-budak jagaan dia, kalau dia ada tanggungjawab, kalau budak tak sempat sangkut baju/tuala, dia sepatutnya tolong uruskan. And aku cakaplah aku kalau tak suka aku akan cakap depan-depan bukan cakap belakang, itu bukan cara aku, so aku nak this minah buat kerja dia betul-betul, so the next day aku tengok ada perubahan sikit, tapi malangnya aku dah tawar hati.

Aku berbincang dengan sorang jiran aku yang tidak bekerja, and dia sudi untuk tolong, dari aku bayar kat taska tu baik aku bayar dia, malah aku akan bayar lebih dari apa yang dibayar pada taska, so next month aku terus bayar pada dia, untuk jemput Najmi dari sekolah, transit kejap kat rumah dia, and dia akan hantar Najmi ke sekolah agama, syukur..selesai satu masalah. Dan kebetulan memang anaknya satu sekolah dengan Najmi dan dia memang setiap hari jemput anak dia, and akan hantar anak dia ke sekolah agama jugak, so at least lepaslah duit minyak dia berulang alik. and aku tak kisah bayar lebih pun, janji hati aku senang.

Thursday, January 10, 2008

School day


Alhamdulillah dah 10 hari kita masuk tahun baru..
tahun 2007 sudah berlalu, meninggalkan pelbagai kenangan buat kami sekeluarga, macam-macam kami lalui, suka duka.. Paling pahit, aku lalui peristiwa keguguran pada April 2007, sangat sedih masa tu, sehinggakan dalam tempoh sepatutnya aku berpantang selepas keguguran, tapi kami terbang ke Langkawi, melarikan diri seketika dari kesedihan, Alhamdulillah balik dari Langkawi, emosi aku pulih, dan lega serta redha dengan semua yang berlaku...

Insya-Allah, kalau diizinkan Allah Taala, dengan rahmat dan keberkatanNya, Dia akan gantikan dengan yang lebih baik pada tahun 2008, mudah-mudahan selamat semuanya kali ini, doa aku tak putus-putus agar selamat semuanya kali ini.

Najmi pun dah masuk darjah satu. Alhamdulillah.. semuanya berjalan lancar, aku mula-mula mmg rasa semacam je nak lepaskan anak, tapi life goes on, semua orang yang ada anak, akan lalui perkara yang sama, and on the first day, aku share the feeling dengan beberapa kawan yang sama-sama hantar anak masuk darjah satu, eheheh rupanya bukan aku sorang ibu yang emo dan over, aku tak keseorangan.. ehehehe..

Insya-Allah aku harap Najmi akan lalui semuanya dengan sempurna. Mujurlah sekolah dengan opis aku tak ler jauh sangat, so awal-awal ni boleh la aku pegi jenguk dia untuk tengok urusan naik bas sekolah time tenghari.

Jadual mmg agak pack utk dia, keluar sekolah lebih kurang 1.25, kalau keluar awal pun, bas sekolah still datang dalam 1.30 jugak, dia ambil budak darjah lain sekali, so dia sampai kat taska untuk transit, mandi makan dalam pukul 2, and dalam 2.30 akan ada van datang ambil untuk ke sekolah agama, so setengah jam je dia ada untuk manage semuanya.. kesian dia...

Balik sekolah agama dah pukul 5.30, rest kejap, dalam pukul 6.15 aku bagi dia main basikal kat luar dengan geng-geng dia, malam lps solat Isya' dah kena tido...Itu pun kena di paksa, kerana dia memang la jenis suka tido lewat suka tengok tv. Tapi Alhamdulillah, Najmi anak yang tidak banyak kerenah, dia boleh ikut arahan supaya kena tido awal, so paling lewat jam 10.00 malam dia sudah kena tido. And aku pun sudah buat deal dengan dia, dia masih boleh tengok kartun tapi not at ceria, dia hanya boleh tengok citer Hikayat Putra Shazlan, Macam-macam Aznil dan Tom-tombak sahaja di Ceria, sesekali tidak boleh menonton citer Adi dan Ayah, yang tah hapa-hapa..for me membuang masa sahaja citer tu sama yang versi Malaysia, Afi dan Abah tu, mengarut betul rancangan itu.

So far dia boleh terima deal tu, boleh tengok kartun hanya version english, sbb aku nak dia belajar BI dari kartun. At least sambil menonton pun dia boleh belajar. Dan mmg kelaziman dia, akan bertanya kalau dia betul-betul nak tau makna perkataan, at least dia akan berusaha. Sebab nak hentikan dia dari menonton kartun memang la susah, dah namanya pun budak-budak.

Dia banyak berdikari, mandi, bersiap, ambil wuduk dan solat sendiri, so far Alhamdulillah, dia tak tinggal solat, eheeh kalau hari cuti tu terbabas juga solat subuhnya, kalau hari sekolah full la dia solat, dan bacaan solatnya makin bagus, dan tertib solat pun tak der masalah.

Ni ada cerita dia yang membuatkan aku nak marah pun tak jadi. Dua tiga minggu lepas, aku tengok rumput di kebun belakang rumah tu dah makin panjang, lalang dan serai pun dah tak leh nak beza dah, rumput-rumput makin subur, then aku cakap lah dia, "Najmi, nanti petang-petang Najmi tolong la mama cabutkan rumput ye, sebab mama kan tak sihat, jadi mama tak boleh buat, Najmi tolonglah, nanti mama belikan ais krim,"
budak bertuah ni jawab "Mama, biarlah rumput tu nak hidup, dia pun ALlah yang jadikan, biarlah dia tumbuh, dia ciptaan Allah, kalau cabut mak dia, nanti anak dia tengok mak dia dah mati, cabut mak dia, nanti anak dia tengok mak dia dah mati, biarlah dia pun makhluk Allah nak hidup jugak," cisss boleh dia jawan camtu, aku nak marah pun tak jadi..ntah mana dia dapat ayat macam tu...bertuah betul..
Ok, ni ada pic dia yang sempat aku snap masa first day sekolah, ehehe ada juga kawannya yang menangis-nangis tidak mahu ditinggalkan bapak, jenuh bapaknya memujuk. My darling lebih excited rupanya, dia jadi penunggu setia, kebetulan kelas Najmi tepi pagar je, depan dengan bus stop, so dari bus stop tu mmg boleh nampak direct ke dalam kelas dia, darling setia la dok tunggu dari pagi sampai tengahari, aku sebab pening je, aku lepak dalam keter, sempat tido sejam lebih.

Photobucket
 

pnut testing Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino